Logo Apl Bible
Ikon Carian

MATIUS 27:55-66 - Bandingkan Semua Versi

MATIUS 27:55-66 BM (Alkitab Berita Baik)

Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.’ Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.” “Bawalah beberapa orang askar,” kata Pilatus kepada mereka, “pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.” Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.

MATIUS 27:55-66 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Ramai wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena dan Maria ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus. Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi murid Yesus. Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu dan mengafankannya dengan kain linen yang bersih. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ. Ketika itu Maria Magdalena ada di situ, begitu juga Maria yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu. Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus. Mereka berkata, “Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, ‘Selepas tiga hari Aku akan bangkit.’ Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau murid-murid-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, ‘Dia telah bangkit daripada kematian.’ Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.” Pilatus berkata kepada mereka, “Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.” Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu dengan memateraikannya supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.

MATIUS 27:55-66 KEAS (Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry))

Maka adapun pŭrampuan banyak disana yang mŭlihat deri jauh, yang tŭlah mŭngikot Isa deri Galilia, bŭrkhodmat padanya. Maka diantara marika itu adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam ibu Yakob dan Yuses, dan bonda anak laki laki Zabdi. ¶ Bŭrmula sŭtlah pŭtang hari, maka datanglah sa’orang kaya deri nŭgri Aremathia, yang bŭrnama Yosof, adapun iya itu sa’orang murid Isa juga. Maka pŭrgilah iya kapada Pilatus mŭminta mayat Isa. Maka disuroh Pilatus brikan mayat itu padanya. Sŭtlah sudah diambil ulih Yosof akan mayat itu, maka dikafankannya dŭngan kain puteh halus yang pŭrsih. Maka ditanamkannya kadalam kubornya sŭndiri, iya itu yang bahru dipahatkannya dalam batu, maka digulingkannya pula sa’buah batu yang bŭsar kapintu kubor itu, lalu pulanglah iya. Maka adalah Mŭriam Magdalini, dan Mŭriam yang lain itu, dudok pada fiak hadapan kubor itu. ¶ Maka pada kaesokkan harinya turutan hari bŭrsŭdia akan hari bŭsar, maka imam imam yang bŭsar, dan orang Farisia pun bŭrkumpollah mŭngadap Pilatus. Katanya, Ya Tuan, bahwa kami skalian tŭringat, adapun orang pŭnipu itu tŭlah bŭrkata tŭtkala iya lagi hidop, Maka kumdian deripada tiga hari aku akan hidop pula. Sŭbab itu handaklah angkau surohkan mŭnjaga kubornya sampie hari yang katiga, kalau kalau murid muridnya datang mŭnchuri akan dia pada malam, lalu bŭrkata pada kaum itu, iya sudah hidop deripada matinya; maka salah yang tŭrkumdian itu tŭrlebih pula jahatnya deripada yang pŭrtama. Maka bŭrkatalah Pilatus pada marika itu, Orang yang bŭrkawal itu ada kapadamu juga, pŭrgilah kamu kawali dia dŭngan sŭbulih bulihnya. Hata maka marika itu pun pŭrgilah mŭnŭgohkan kubor itu, maka dimutriekan batu tutop kubor itu, sŭrta disurohkannya lashkar bŭrkawal.