Meletakkan Tuhan di Tempat PertamaSampel
"Tuhan telah Memberikan Anda Tempat Pertama di Hati-Nya"
Apakah pendapat anda jika diberitahu bahawa Tuhan melihat anda seolah-olah anda tidak pernah berdosa? Hakikatnya adalah kerana pekerjaan penebusan Yesus pada salib, demikianlah caranya Tuhan melihat anda. Sebagai orang Kristian, kita diampuni, disucikan dan dibebaskan!
Itu bermakna anda ialah orang suci: orang yang telah mencapai kedudukan benar yang khas dalam Kristus. Anda sempurna, suci dan tidak bercela di mata Tuhan. Dia memanggil anda anak-Nya, pewaris kelimpahan-Nya dan sahabat-Nya.
"Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Tuhan sendiri. Allah memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Tuhan sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang." I Petrus 2:9
Benar-benar memahami bagaimana Tuhan melihat kita bermula dengan bagaimana kita melihat Dia. Tuhan tidak memerhati kita dari jauh sambil menunggu kita membuat kesilapan supaya Dia boleh menghukum kita. Ini tidak benar sama sekali.
Pertimbangkan apa yang dinyatakan dalam ayat ini:
"Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Tuhan. Mereka menjadi anak Tuhan bukan dengan cara dilahirkan oleh manusia, tetapi Tuhan sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya" Yohanes 1:12-13
Tuhan melihat setiap seorang daripada kita sebagai anak-Nya yang berharga. Dialah Bapa penyayang yang menyenangi kita dan menjaga kita kerana belas kasihan-Nya yang tidak berhujung. Beberapa ayat dalam Kidung Agung menggambarkan kedalaman kasih Tuhan yang luar biasa bagi kita dengan membandingkannya dengan cinta intim antara suami isteri. Ibrani 11: 6 memberitahu kita bahawa Tuhan ialah pemberi anugerah bagi mereka yang mencari-Nya.
Tuhan melihat setiap anak-Nya dengan cara yang sungguh berbeza daripada cara kita melihat diri kita sendiri. Memahami bagaimana Tuhan melihat kita adalah berasaskan pekerjaan Kristus yang dimulakan dalam kehidupan kita pada saat kita menerima penyelamatan.
"Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula" II Korintus 5:17
"Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus." II Korintus 5:21
Ciptaan baharu ini adalah kerja ilahi Tuhan; transformasi sepenuhnya keadaan rohani dan diri dalaman kita. Dia telah mengampuni kita sepenuhnya dan menyucikan kita daripada dosa-dosa kita – yang lepas, sekarang, dan akan datang. Kita berada dalam hubungan yang benar dengan Dia.
"...sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita." Mazmur 103:12
Kita ialah umat Tuhan yang dipersembahkan kepada-Nya tanpa sebarang dosa; betul-betul sebagai kebenaran-Nya melalui pekerjaan Yesus pada salib. Sesungguhnya, Tuhan telah memberikan kita tempat pertama di hati-Nya!
Perihal Pelan
Meletakkan Tuhan di tempat pertama dalam kehidupan kita bukanlah sesuatu yang dibuat hanya sekali... ini merupakan proses sepanjang hidup untuk setiap penganut Kristian. Sama ada anda baru percaya atau pengikut Kristus bergelar “veteran”, anda akan mendapati pelan ini mudah difahami dan mudah diikuti, serta merupakan strategi yang sangat efektif untuk kehidupan Kristian yang berkemenangan
More
Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Twenty20 Faith, Inc. kerana menyediakan rancangan ini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati: http://www.twenty20faith.org/yvdev3