Rumah MinimalisSampel

The Minimalist Home

HARI 2 DARIPADA 5

Mendapat Balik Lebih daripada yang Kita Berikan

Minimalisme bukanlah tentang merampas sesuatu daripada anda; ia ialah tentang memberikan sesuatu kepada anda. Definisi saya untuk minimalisme ialah "menggalakkan perkara yang paling dihargai dan menyingkirkan apa-apa yang membuat kita lupa akan perkara tersebut." Peminimuman itu sebenarnya pengoptimuman—mengurangkan harta milik anda supaya anda boleh memupuk apa yang paling dihargai dalam hidup anda dan tidak dialihkan perhatian oleh apa-apa yang menghalang anda daripada mengerjakan tujuan Allah. Minimalisme bersifat individu, membebaskan, dan menggalakkan hidup. 

Anda akan mendapati bahawa peminimuman rumah anda mengubah sikap anda terhadap apa yang anda simpan dan apa yang anda lepaskan. Iaitu, ia menggalakkan kesyukuran dan kemurahan hati. Kedua-dua sikap itu boleh membantu anda untuk menjadi orang yang diidamkan. 

Apabila anda tidak memiliki terlalu banyak barang malah tidak menginginkan terlalu banyak barang, anda mengalami kepuasan yang tidak mungkin dirasakan oleh orang yang berasa ghairah akan alat yang terbaru dan mengumpulkan lebih banyak perabot. Apabila koleksi harta anda dikurangkan kepada apa yang diperlukan sahaja, anda bukan sahaja lebih sedar akan barang tersebut tetapi juga lebih menghargainya. Anda berasa puas hati dan tenang. Kesyukuran timbul dari dalam, dan itu ialah sifat yang lebih menarik daripada ketamakan. Kesyukuran juga mengingatkan kita bahawa kita memiliki banyak barang yang boleh diberikan kepada orang lain.

Hal ini membawa kepada kemurahan hati. Minimalisme membenarkan anda untuk menjalankan gaya hidup yang kurang mementingkan diri. Jika anda tidak lagi mengejar kehidupan mendapat, mendapat, mendapat, anda boleh mula menjalankan hidup memberi, memberi, memberi. Anda menjadi orang yang murah hati, jenis orang yang mengairi dunia kita yang kering kontang. 

Pada mulanya, ini bermakna memberikan harta anda yang berlebihan. Anda akan menemui sukacita yang besar dalam menderma kepada orang lain. Saya berharap anda menyedari bahawa kemurahan hati memberikan ganjaran—agar anda suka akan perasaan yang timbul semasa memberi. 

Kemudiannya, anda akan mencari lebih banyak peluang untuk menjadi murah hati. Anda akan menggunakan wang berlebihan untuk menyokong perjuangan dan pelayanan yang dipercayai. Anda akan menggunakan kekosongan dalam jadual anda untuk melayan dan menjadi sukarelawan. Kitab 2 Korintus memberitahu kita bahawa Allah mengasihi "orang yang memberi dengan senang hati" (2 Korintus 9:7). Hal yang baik tentang kemurahan hati ialah sebaik sahaja anda mula memberikan barang anda, sukacita anda pasti akan bertambah.

Bilakah anda mengalami sukacita kemurahan hati? Pada pendapat anda, mengapakah kita memperoleh kepuasan semasa memberikan wang dan barang kita kepada orang lain?

Hari 1Hari 3

Perihal Pelan

The Minimalist Home

Penulis Joshua Becker memerhatikan sesuatu yang indah berlaku apabila orang mengurangkan kuantiti milikan mereka—dalam proses itu, mereka turut berubah. Walaupun renungan ini berkenaan dengan mengurangkan milikan anda, anda akan menyedari bahawa memiliki milikan yang kurang bermaksud mengubah diri anda juga! Semasa anda mengurangkan jumlah milikan anda, anda akan berasa kagum bagaimana iman anda, perasaan tujuan anda, dan kemurahan hati anda akan berlimpah-ruah.

More

Kami berterima kasih kepada WaterBrook Multnomah kerana menyediakan pelan ini. Untuk maklumat lanjut, layari: https://waterbrookmultnomah.com/books/250883/the-minimalist-home-by-joshua-becker/

Pelan yang Berkaitan